Pulau Pinang: Aplikasi ePINTAS–SEHAP bantu perkukuh usaha kekang denggi

Pulau Pinang: Aplikasi ePINTAS–SEHAP bantu perkukuh usaha kekang denggi

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika melancarkan aplikasi ePINTAS-SEHAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang mempertingkatkan usaha untuk mengekang kes denggi apabila melancarkan satu kaedah pemantauan bersepadu melalui aplikasi sistem secara dalam talian.

Dikenali sebagai sebagai Penang Information And Complaints System (ePINTAS) – State Environmental Health Action Plan (SEHAP) atau ePINTAS–SEHAP, aplikasi itu membantu memperkukuh kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu kesihatan alam sekitar secara menyeluruh.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana, dengan adanya aplikasi itu, ia membolehkan pengesanan kes dijalankan secara lebih pantas dengan data dikemas kini secara langsung sama ada di peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Hasil integrasi ini bukan sahaja memperkemas aliran kerja antara agensi, malah, mewujudkan sebuah sistem pemantauan yang lebih cekap dan responsif melalui aplikasi tersebut,” katanya selepas melancarkan aplikasi berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Kon Yeow berkata, selain itu, inisiatif yang sama juga membantu kerajaan menjimatkan kos sebanyak RM170,000 setahun selepas penggunaan aplikasi sedia ada digabungkan dengan modul baharu.

“Usaha ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia iaitu menggabungkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT dalam satu aplikasi bersepadu bagi menyokong pengurusan kesihatan alam sekitar secara holistik,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, sehingga Minggu Epid (ME) 46 Tahun 2025 iaitu antara 9 hingga 15 November lalu, sebanyak 58 kes denggi dilaporkan iaitu peningkatan 13 kes berbanding minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah kumulatif setakat 15 November mencatatkan 1,687 kes iaitu penurunan sebanyak 59 peratus berbanding 4,069 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Pada masa yang sama, kes kematian juga menunjukkan penurunan apabila hanya empat kes dilaporkan berbanding lapan kes pada 2024,” katanya yang memberitahu, terdapat 12 wabak aktif di negeri ini iaitu lapan di daerah Timur Laut, tiga di Barat Daya dan satu lagi di Seberang Perai Tengah (SPT).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN