PSP Energy dijangka raih RM34.2j di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

PSP Energy dijangka raih RM34.2j di Pasaran ACE

PENGARAH Urusan Kumpulan, Ong Chee Seng (tengah) ketika majlis pelancaran prospektus PSP Energy.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PSP Energy Berhad (PSP Energy) syarikat perdagangan dan pengedar bahan api serta pelincir bersepadu, dijangka meraih hasil sebanyak RM34.2 juta menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

Pada harga tawaran 16 sen sesaham, PSP Energy dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM171 juta selepas disenaraikan.

Daripada jumlah itu, RM15 juta atau 43.9 peratus hasil kutipan akan digunakan untuk membeli sebuah kapal bunker baharu bagi mengembangkan perniagaan perbunkeran syarikat.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Ong Chee Seng berkata, pembelian kapal bunker siap bina itu akan membolehkan syarikat mencapai kesiapsiagaan operasi dengan lebih pantas.

Beliau berkata, perniagaan perbunkeran PSP Energy mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila hasil meningkat daripada RM106.1 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 kepada RM147.8 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 11.7 peratus.

“Pembelian kapal bunker tambahan itu akan meningkatkan kapasiti perbunkeran syarikat yang ketika ini disokong oleh tiga buah kapal. Kapal baharu berkenaan dijangka mempunyai kapasiti muatan sekurang-kurangnya 2.0 megaliter,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, sebanyak RM12 juta (35.1 peratus) daripada hasil kutipan akan digunakan untuk membeli produk bahan api seperti diesel dan minyak gas marin bagi meningkatkan jumlah jualan dan kapasiti bekalan.

“Peruntukan ini akan menyokong pertumbuhan jangka panjang PSP Energy dengan menambah kapasiti jualan serta memperluas liputan pelanggan.

“Ia juga akan mempercepatkan pengoperasian kapal bunker tambahan dan pengkomersialan hab perbunkeran berasaskan pelabuhan di Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka.

“Sebanyak RM1 juta (2.9 peratus) diperuntukkan untuk membeli tujuh lori tangki baharu bagi menggantikan unit lama, manakala RM1.3 juta (3.8 peratus) digunakan bagi modal kerja am dan RM4.9 juta (14.3 peratus) untuk perbelanjaan penyenaraian,” katanya.

Melalui IPO ini, PSP Energy akan menerbitkan 213.8 juta saham baharu biasa dan menawarkan 74.82 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 20 dan 7.0 peratus daripada modal saham diperbesarkan sebanyak 1.07 bilion saham.

Daripada saham baharu itu, 53.44 juta unit diperuntukkan kepada orang awam, 48.10 juta kepada pengarah, kakitangan dan individu berkaitan kumpulan, 53.44 juta kepada pelabur terpilih dan 58.82 juta kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI).

Langganan IPO dibuka mulai hari ini hingga 21 November 2025, manakala penyenaraian di Pasaran ACE dijadualkan pada 4 Disember ini.

Mercury Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat Utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bersama, manakala AmInvestment Bank Bhd ialah Ejen Penempatan Bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN