Projek Akuapolitan wajar dihidupkan

Projek Akuapolitan wajar dihidupkan

AHMAD RAZIF ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Cadangan menghidupkan semula Projek Akuapolitan atau Felda Laut yang dibatalkan pada 2019 boleh diadaptasi di lokasi lain jika Kerajaan Negeri Terengganu tidak berhasrat meneruskannya.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, projek berskala nasional itu masih boleh dilaksanakan di Johor, Sabah, Sarawak, Perlis, Kedah atau Pahang yang mempunyai komuniti pesisir dan nelayan yang ramai.

Beliau berkata, modelnya boleh disesuaikan dengan keperluan setempat namun visi asal perlu dikekalkan, iaitu membina komuniti maritim berpendapatan tinggi melalui Ekonomi Biru Negara.

“Cadangan penambahbaikan boleh merangkumi penyertaan universiti, institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) maritim, Majlis Amanah Rakyat (Mara), agensi penyelidikan marin, syarikat berkaitan perikanan, sektor pelaburan dan pelancongan nautika. 

“Pendekatan Kerjasama Komuniti Awam-Swasta (PPCP) boleh digunakan supaya projek ini tidak hanya bergantung kepada belanjawan kerajaan. Negara seperti Indonesia, Korea Selatan dan Norway telah membuktikan model pembangunan komuniti maritim moden mampu menghasilkan nilai ekonomi tinggi serta mobiliti sosial untuk rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan,  projek Akuapolitan yang dibatalkan pada 2019 wajar dikaji untuk diteruskan semula sebagai salah satu langkah bersepadu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat nelayan.

Projek bernilai RM180 juta itu dirasmikan pada 2016 dengan Kampung Seberang Pak Abu, Kuala Nerus, dekat sini dipilih sebagai lokasi perintis di Terengganu namun dibatalkan tiga tahun kemudian selepas berlaku perubahan pentadbiran kerajaan negeri.

Cadangan asal projek itu melibatkan gabungan elemen-elemen penting dalam menghasilkan program perikanan yang holistik, menyeluruh dan mampan untuk masyarakat nelayan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassin Mohamed berkata, konsep projek itu boleh diteruskan pada hadapan jika kerajaan mempunyai bajet atau peruntukan untuk memajukan industri perikanan negara.

Menurut Ahmad Razif, tiga faktor utama keperluan menghidupkan semua projek tersebut adalah kerana ia seiring dengan agenda Ekonomi Biru Negara yang mana Malaysia telah lama menekankan potensi sektor maritim melalui industri perikanan moden, pelabuhan, bioteknologi marin, akuakultur, pelancongan nautika dan tenaga boleh baharu laut. 

Selain itu, kata beliau,  ia selari dengan fokus nasional terhadap keterjaminan makanan memandangkan Malaysia masih bergantung kepada import makanan laut dan akuakultur bernilai berbilion ringgit setiap tahun. 

Katanya, pembangunan komuniti Aquapolitan membuka ruang kepada peningkatan pengeluaran hasil laut melalui kaedah moden seperti akuakultur bersepadu, penternakan ikan sangkar, rumpai laut, kerang, udang dan makanan laut premium untuk pasaran eksport. 

“Ketiga, Aquapolitan membawa dimensi baharu dalam pembangunan sosial inklusif. Selama ini, komuniti pesisir sering ketinggalan berbanding komuniti Felkda, bandar dan kawasan pertumbuhan ekonomi lain. 

“Projek Aquapolitan dirangka dengan penyediaan perumahan moden atas air dan daratan, kemudahan pendidikan, pusat kesihatan, latihan kemahiran, pusat penyelidikan marin dan ekosistem ekonomi setempat. Ia bukan sekadar membina rumah tetapi membina tamadun laut moden yang memberi maruah kepada masyarakat pesisir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN