Produksi alami kejadian misteri bawa ilmu Rawa Rontek dalam filem - Utusan Malaysia

Produksi alami kejadian misteri bawa ilmu Rawa Rontek dalam filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagi memberi kelainan daripada lambakan naskhah seram, pengarah, Helfi Kardit, menekankan ilmu Rawa Rontek dalam pembikinan filem terbaharu, Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai.

Jelas Helfi, Rawa Rontek merupakan sebuah ilmu kebal mistik masyarakat Jawa terutama dalam kalangan pahlawan, membuatkan mereka tidak boleh mati.

“Kalau di Indonesia, Rawa Rontek memang sudah terkenal iaitu apabila kepala yang dipenggal dan badan bertemu, kemudian dia pijak ke bumi. Mereka akan hidup lagi.

“Oleh itu mereka percaya, kepala yang sudah dipotong perlu dipisahkan daripada tubuh. Mungkin hal seperti itu jarang didengar di Malaysia,” katanya.

Helfi ditemui di majlis tayangan perdana Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai, di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun, menurut Helfi, dia dan kru produksi sempat mengalami kejadian misteri apabila ternampak kepala manusia di sebatang sungai berdekatan lokasi penggambaran.

“Penggambaran dilakukan di Gunung Pandayan, Jawa Barat. Waktu itu sekitar pukul tiga pagi, kami sedang berehat seketika. Sejuk sekali keadaan ketika itu.

“Kebetulan, ada sebatang sungai. Apabila kru alihkan lampu, ternampak kepala dalam aliran sungai itu. Memang seram.

“Saya kemudian ambil keputusan untuk pindahkan lokasi penggambaran,” katanya.

Jelas Helfi, dia percaya kejadian tersebut ada kaitannya dengan Ilmu rawa Rontek seperti dalam filem.

“Mungkin kerana saya membuat film tentang Rawa Rontek iaitu kepala dipenggal boleh kembali lagi. Tapi  entah macam mana boleh ada kepala dalam aliran sungai itu? Saya bingung juga.

“Tapi saya tidak mahu fikir banyak. Kita tukar sahaja lokasi penggambaran,” katanya.

Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai merupakan sekuel kepada filem Menjelang Magrib yang ditayangkan di Malaysia tiga tahun lalu dan mendapat kutipan hampir RM2 juta.

Filem kedua ini menceritakan tentang seorang doktor yang mahu menyelamatkan gadis yang mempunyai sakit misteri menyebabkannya dipasung di Desa Karuhan.

Helfi yang juga selaku penulis lakon layar mengambil latar tahun 1920 sewaktu Indonesia masih dijajah Belanda.

Filem Menjelang Magrib 2  bakal menemui penonton Malaysia bermula 20 November ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN