KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu laporan penuh bedah siasat berhubung kes kematian seorang pengawal keselamatan berusia 54 tahun yang diserang di luar sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini, pada 13 Oktober.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sejurus laporan bedah siasat diterima.
“Kes berkenaan pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kebiasaannya Seksyen 302 ini tidak diberikan jamin tetapi sebab kes ini disiasat awalnya mengikut Seksyen 324 dan diberi jamin (ketika itu), jadi supek diberi jamin dahulu (walaupun kes diklasifikasikan semula),” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling, di sini hari ini.
16 Oktober lalu, media melaporkan pengawal keselamatan yang diserang seorang lelaki di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Sentul, di sini pada 13 Oktober meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa jam selepas kejadian.
Ahmad Sukarno dilapor berkata, sebelum mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri, lelaki itu bertugas di pos kawalan didatangi penyewa lelaki meminta bantuannya untuk ke blok lain, kira-kira pukul 5 pagi.
Bagaimanapun mangsa enggan berbuat demikian kerana tidak boleh meninggalkan pos pengawal.
Suspek kemudian bertindak agresif dengan menampar muka kiri, menumbuk dahi serta memijak badan dan kaki mangsa.
Susulan itu, pihak polis mengesahkan mengklasifikasikan semula kes terbabit sebagai kes bunuh selepas mangsa disahkan meninggal dunia. – UTUSAN










