Polis tahan pengamal perubatan tradisional - Utusan Malaysia

Polis tahan pengamal perubatan tradisional

BAKRI Zainal Abidin (tengah) menunjukkan darjah kebesaran palsu yang dipasang pada kereta seorang pengamal perubatan tradisional pada sidang akhbar di IPK Hilir Perak di Teluk Intan. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Polis menahan seorang pengamal perubatan tradisional dan merampas beberapa peralatan darjah kebesaran palsu kerana disyaki menggunakan gelaran ‘Datuk’ tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 41 tahun itu diberkas semalam dalam Op Puyuh (penyamaran) yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Katanya, suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Banjar Jaya hasil risikan dan pemantauan polis terhadap kegiatan penipuan melibatkan penggunaan gelaran kehormat serta darjah kebesaran palsu.

“Siasatan mendapati lelaki terbabit menggunakan anugerah yang tidak sah termasuk anugerah diraja serta mengaku sebagai kerabat beberapa institusi diraja termasuk dari Perak dan Kelantan.

“Tindakan tersebut dipercayai bertujuan menipu dan memperdayakan masyarakat di sekitar Hilir Perak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, lelaki terbabit yang mengaku sebagai pengamal perubatan tradisional menjalankan rawatan meskipun tidak memiliki sebarang kelayakan dan pengiktirafan untuk menjalankan aktiviti tersebut.

Malah katanya, selain terlibat dalam pemalsuan gelaran kehormat, suspek juga dipercayai memalsukan dokumen berkaitan Persatuan Bekas Polis Malaysia untuk menipu pihak tertentu.

“Pemeriksaan di rumah suspek membawa kepada rampasan beberapa dokumen ‘watikah Penganugerahan’ dan ‘kebenaran meletakkan panggilan adat pertubuhan dalam dokumen rasmi’, pelbagai lambang, sijil dan kad keahlian berkaitan pertubuhan tidak sah.

“Selain itu, kita turut merampas gambar suspek berpakaian istiadat dengan pelbagai gelaran kehormat palsu, sebuah kereta Toyota Corolla Altis dengan pelekat dan lambang tidak diiktiraf dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk penyamaran,” katanya.

Tambah beliau, rampasan turut melibatkan barangan berkaitan rawatan tradisional yang digunakan suspek bagi mengukuhkan penyamarannya sebagai individu berpengaruh dan berstatus tinggi.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta 787 (Akta Anugerah Persendirian 2017) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun jika disabitkan kesalahan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN