PETALING JAYA: Polis Kontinjen Selangor mengesahkan pihaknya sedang menyiasat satu kejadian tembak yang dipercayai cubaan membunuh di Taman Mesra Indah, Klang Selatan, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.35 malam selepas pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 mengenai insiden berkenaan.
“Berdasarkan laporan awal, berlaku satu kejadian tembak di lokasi tersebut.
“Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat serta motif kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan, berikutan elemen cubaan membunuh yang dikesan dalam insiden itu.
“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut berpunca daripada perselisihan tertentu, namun siasatan lanjut sedang dijalankan. Kami juga sedang mengesan saksi yang berada di kawasan tersebut untuk membantu melengkapkan siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu pihak polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Mohd. Harman Mohd. Haniff di talian 019-210 0334 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376 2222. – UTUSAN








