PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara memainkan peranan penting sebagai penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat.
Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Muhammad Fikri Abdul Aziz berkata, KRT boleh berfungsi menyampaikan maklumat sahih berkaitan dasar serta inisiatif kerajaan kepada komuniti setempat.
Beliau berkata, peranan KRT kini bukan sekadar melaksanakan aktiviti kemasyarakatan, tetapi menjadi jambatan komunikasi yang memastikan rakyat menerima maklumat tepat tanpa kekeliruan.
“Sebanyak 180 KRT di seluruh negara dipilih menerima sumbangan khas daripada Pejabat Perdana Menteri bagi melaksanakan peranan itu membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.
“Pemilihan penerima sumbangan dibuat berdasarkan rekod KRT yang aktif serta kerap menganjurkan program bermanfaat kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan masing-masing RM10,000 kepada 10 KRT di Putrajaya pada Majlis Penyerahan Peruntukan Komuniti KRT MADANI Rakyat Disantuni di Pusat NADI Fasa 3 Presint 9 di sini, hari ini.
Katanya, setiap KRT terpilih di seluruh negara menerima antara RM5,000 hingga RM10,000 bergantung kepada kesesuaian KRT berkenaan.
Muhammad Fikri berkata, dana itu bertujuan menyokong penganjuran pelbagai program seperti aktiviti sukan, gotong-royong dan program komuniti lain yang mengukuhkan keharmonian serta perpaduan di KRT berkenaan.
“Ini adalah kali pertama Pejabat Perdana Menteri menyalurkan bantuan berskala besar kepada KRT, menandakan komitmen kerajaan untuk memperkasa peranan KRT sebagai institusi akar umbi yang rapat dengan rakyat,” katanya. – UTUSAN










