KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) sebagai rujukan utama kepada semua pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju dan agensi berkaitan dalam merancang pembangunan infrastruktur bagi mengurangkan risiko banjir dan pencemaran.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 pada 17 April tahun lalu sebagai usaha memperkukuh pelaksanaan projek berteraskan prinsip Manual Saliran Mesra Alam (MSMA).
“PISMA berpandukan MSMA akan memastikan pembangunan lebih terancang, sistematik dan mapan, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat serta kesan pencemaran,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sentiasa menerapkan konsep infrastruktur hijau dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dalam projek tebatan banjir.
“Pendekatan ini bukan baharu kerana telah lama diterapkan dalam projek infrastruktur seperti empangan dan kolam takungan yang bukan sahaja berfungsi sebagai mitigasi banjir, tetapi juga sebagai sumber bekalan air dan kawasan rekreasi,” katanya.
Menurutnya, antara contoh projek infrastruktur dwifungsi ialah Kolam Krubong–Durian Tunggal di Melaka dan Kolam Sungai Klang–Sungai Rasau di Selangor yang turut dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air semasa musim kering.
Akmal berkata, NAHRIM dengan kerjasama pakar dari Belanda melalui Dutch Disaster Risk Reduction and Surge Support Programme (DRRS) melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bagi penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature-Based Solutions, NBS) termasuk konsep bandar serapan banjir (sponge city) dan sistem kawalan sedimen mesra alam.
Menurutnya, kementerian akan terus memperkukuh pendekatan kos efektif dan berdaya tahan tersebut, selain bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan projek mitigasi banjir lebih bersepadu dan memberi impak optimum kepada rakyat. – UTUSAN










