IPOH: Pasukan yang akan menyertai kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah Edisi ke-31 2025 mula tiba di Ipoh semalam.
Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP), Datuk Ahmad Sayuti Abd Samad berkata, semua pasukan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dibawa menaiki bas ke Ipoh.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola Kejohanan berkata, pasukan pertama yang tiba ialah pasukan Korea.
“Korea tiba semalam manakala India dan New Zealand tiba hari ini. Belgium dan tuan rumah, Malaysia akan tiba esok 18 November sementara Kanada akan tiba pada hari Rabu,” katanya.
Kejohanan akan berlangsung mulai 23 sehingga 30 November ini.
Menurut Sayuti, semua persiapan logistik sudah dibuat dan kini hanya menunggu wisel permulaan.
Katanya, PHP berharap kejohanan berjalan lancar dan penonton akan dihiburkan dengan persembahan dan permainan hoki yang menarik. – UTUSAN










