LUMUT: Cawangan Risik Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sebanyak 700,000 kilogram (kg) bahan mineral galian jenis Silico Manganese bernilai kira-kira RM2.5 juta dalam Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan di kawasan jeti persendirian di Segari, semalam.
Operasi bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang itu dijalankan bersama Pasukan Risik PGA Briged Utara dengan bantuan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung.
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pemeriksaan awal di lokasi menemukan 250 guni jumbo mengandungi kira-kira 250,000 kg bahan mineral itu yang diletakkan berhampiran jeti.
Katanya, pemeriksaan lanjut oleh pasukan serbuan dalam kawasan gudang di kawasan jeti pula menjumpai sebanyak 450 guni jumbo berisi bahan mineral yang sama dengan anggaran berat 450,000 kg.
“Berdasarkan siasatan, bahan mineral berkenaan dipercayai telah disimpan selama lebih dari seminggu dan tidak mendapat kelulusan daripada JMG Perak.
“Kesemua bahan mineral itu dibawa masuk dari India dan akan dieksport ke Myanmar bagi kegunaan industri pembuatan besi dimana Malaysia dijadikan hub transit sementara sebelum galian itu dibawa ke negara berkenaan melalui jalan air,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, tangkapan dan rampasan keseluruhan bernilai RM2,545,620 diserahkan kepada JMG Perak untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 6(1)(a) Peraturan-peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN










