Petronas Chemicals raih pendapatan RM6.8 bilion pada suku ketiga 2025 - Utusan Malaysia

Petronas Chemicals raih pendapatan RM6.8 bilion pada suku ketiga 2025

PCG catat pendapatan lebih tinggi berbanding suku sebelumnya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) meraih pendapatan berjumlah RM6.8 bilion pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember, meningkat lima peratus berbanding suku sebelumnya didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi dan prestasi operasi yang stabil. 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turut melonjak 26 peratus kepada RM497 juta, disokong oleh penyebaran produk yang lebih baik, terutamanya bagi urea dan ammonia, serta kerugian pertukaran asing tidak direalisasi yang lebih rendah.

Kumpulan juga berjaya mengurangkan Kerugian Selepas Cukai (LAT) kepada RM291 juta, berbanding RM1 bilion pada suku sebelumnya, hasil daripada pengurangan kesan negatif pertukaran asing dan ketiadaan butiran luar biasa yang direkodkan pada suku kedua 2025. 

Kadar penggunaan loji purata PCG meningkat kepada 90 peratus, mencerminkan pemulihan prestasi operasi meskipun kerja penyelenggaraan berkala dijalankan di PC Fertiliser Sabah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, prestasi kumpulan pada suku ini mencerminkan faedah nyata daripada disiplin operasi dengan peningkatan prestasi loji secara keseluruhan, sementara syarikat melaksanakan kerja-kerja pemulihan yang dirancang pada loji baja di Sipitang, Sabah. 

“Penutupan ini telah dilaksanakan dengan selamat dan disiapkan mengikut jadual.

“Kumpulan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, pelaksanaan inisiatif pengoptimuman kos dan pencarian peluang secara aktif untuk penciptaan nilai.

“Pendekatan berdisiplin ini telah menghasilkan peningkatan melebihi RM400 juta dalam EBITDA bagi tempoh tahun sehingga kini.  Kami kekal komited untuk memacu inovasi dan memperluas portfolio untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan. 

Dalam segmen bahan termaju dan salutan di bawah perniagaan kimia khusus, permintaan terhadap penyelesaian salutan yang lebih kukuh dan tahan lama terus meningkat.

“Melalui segmen bahan kimia khusus, kami telah memperkukuh penawaran dengan pengenalan rangkaian Neptem™ sebagai bahan pengemulsi untuk alkid bawaan air, yang bertujuan untuk mengurangkan sebatian organik yang meruap dalam produk cat dan salutan. 

“Dengan ini jumlah keseluruhan produk baharu yang dibangunkan setakat tahun ini adalah 15 produk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN