KUBANG PASU: Seorang lelaki berusia 45 tahun putus kepala dipercayai akibat ditetak dengan parang oleh adik iparnya dalam kejadian di kawasan sawah di Kampung Pida 3, di sini, malam tadi.
Kejadian sekitar pukul 7.05 malam dikatakan bermula dengan pergaduhan sesama mereka sebelum insiden ngeri itu berlaku dengan mayat mangsa ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur.
Difahamkan, bahagian kepala mangsa yang putus dijumpai pada jarak kira-kira satu meter dari lokasi badannya ditemukan dalam sawah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat beberapa kesan tetakan selain bahagian kepala yang terpisah daripada badan.
“Suspek berusia 38 tahun yang berada dalam bilik di rumahnya berjaya ditangkap kira-kira pukul 8 malam selepas pihak polis memujuknya selama 15 minit dalam keadaan dia masih memegang parang.
“Kita masih menyiasat motif kejadian dan menasihatkan masyarakat agar tidak menghebohkan atau berkongsi maklumat yang tidak sahih,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, sebentar tadi.
Mohd. Radzi berkata, sebilah parang sepanjang 30 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas polis dan mangsa serta suspek yang bekerja sebagai pesawah tidak mempunyai rekod lampau jenayah.
Tambahnya, mangsa sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, manakala suspek masih bujang dengan rumah mereka terletak berhampiran antara satu sama lain.
“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sementara suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar untuk direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. — UTUSAN

 
								 
											






