NARATHIWAT (THAILAND): Pertukaran kerajaan yang sering kali berlaku di negara ini dibimbangi boleh menjejaskan proses rundingan damai selatan Thai.
Ahli Parlimen Narathiwat (Kawasan 5), Kamonsak Leewamoh berkata, kebimbangan itu berasas apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul yang sedang menerajui kepemimpinan negara dijangka membubarkan Parlimen pada Januari depan.
“Rundingan damai ini bukan ambil masa dua bulan, tetapi bertahun untuk diselesaikan. Biasanya apabila kerajaan bertukar, maka proses rundingan terhenti. Saya bimbang apa yang dibuat sekarang ini hanya bayang” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Program Baik Pulih dan Bina Rumah Rakyat di Kampung Sungai Batu, Bacho di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menyatakan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) setuju menyambung semula rundingan damai.
Sementara itu, Speaker Parlimen Thailand, Wan Muhammad Noor Matha berharap wakil Kerajaan Thailand dan BRN bersungguh-sungguh menjayakan proses rundingan damai itu.
“Rakyat selatan Thai mahukan keamanan untuk menjalani kehidupan,” ujarnya.
Mengulas permintaan beberapa pihak supaya rundingan damai itu dijadikan agenda nasional, beliau berkata, ia bergantung kepada polisi kerajaan.
“Saya tidak berada dalam rundingan damai itu. Cuma saya berharap semua pihak berfikiran terbuka supaya rundingan damai ini memberi faedah kepada rakyat,” katanya.
14 November lalu, MKN menyatakan Kerajaan Thailand dan BRN bersetuju menyambung semula rundingan damai bermula bulan depan.
Komitmen ini dicapai hasil mesyuarat khas di antara wakil peringkat tinggi kedua-dua pihak yang diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan kesinambungan Proses Dialog Damai selatan Thai.
Pejabat Fasilitator Kerajaan Malaysia MKN berkata, mesyuarat itu dipermudah cara oleh Fasilitator Kerajaan Malaysia, Datuk Mohd Rabin Basir. – UTUSAN










