PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi akan mempertimbangkan penggunaan sistem pengesahan identiti pengguna (eKYC) sebagai syarat menggunakan aplikasi sosial atau temu jodoh, Omi.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meneliti perkara itu.
Beliau berkata, MCMC juga akan memanggil pihak syarikat yang mengusahakan aplikasi tersebut untuk mendapatkan penjelasan.
“Kita juga akan pertimbangkan untuk menggunakan eKYC yang menggunakan dokumen yang diterbitkan oleh pihak kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID bagi pengesahan umur dan identiti.
“Kita akan ambil tindakan. Jadi saya telah minta kerana Omi dia adalah aplikasi yang sedikit berbeza,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini semalam.
Beliau berkata demikian susulan laporan kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan menerusi aplikasi berkenaan.
Katanya, syarikat penyedia aplikasi itu turut diminta menjelaskan apakah langkah dan mekanisme sistem verifikasi umur yang diguna pakai aplikasi itu ketika ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, pertimbangan sama juga akan diberikan bagi permainan dalam talian, Roblox.
Menurutnya, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan wakil Roblox yang berpangkalan di Korea Selatan dan Australia dua hari lalu bagi memaklumkan pandangan kerajaan mengenai isu membabitkan permainan itu.
“Kerajaan memandang serius beberapa insiden yang berlaku termasuk yang terbaru melibatkan kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mencederakan adiknya berusia 6 tahun dipercayai akibat terpengaruh dengan permainan itu,” katanya. – UTUSAN











