PETALING JAYA: Pasaran buruh Malaysia terus mempamerkan daya tahan pada suku ketiga 2025 (ST3 2025) dengan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (LFPR) meningkat kepada 70.9 peratus, manakala permintaan buruh mencecah 9.16 juta jawatan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh kekal kukuh dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja dan penurunan jumlah penganggur.
“Tenaga buruh berkembang sebanyak 489,900 orang kepada 17.49 juta berbanding 17 juta orang pada suku sama tahun lalu, didorong oleh pertumbuhan 3.1 peratus tahun ke tahun dalam penduduk bekerja kepada 16.97 juta orang.
“LFPR pula meningkat kepada 70.9 peratus daripada 70.6 peratus pada suku ketiga 2024, manakala bilangan penganggur berkurang kepada 519,900 orang, menjadikan kadar pengangguran turun kepada 3.0 peratus,” katanya.
Mengulas mengenai guna tenaga tidak penuh, beliau berkata, jumlah penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu menurun 12.6 peratus kepada 230,900 orang.
“Guna tenaga tidak penuh berkaitan masa turun kepada 133,300 orang atau 0.8 peratus manakala guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran berjumlah 1.96 juta orang, dengan kadar menurun kepada 35.5 peratus berbanding 36.0 peratus pada suku ketiga 2024,” katanya.
Sektor ekonomi turut menunjukkan permintaan buruh yang lebih tinggi apabila jumlah jawatan meningkat kepada 9.16 juta, tertinggi sejak suku pertama 2022, dengan pertumbuhan 1.7 peratus tahun ke tahun.
Sebanyak 97.8 peratus atau 8.97 juta jawatan berjaya diisi, manakala 197,100 kekal kosong, bersamaan kadar kekosongan 2.2 peratus selain pewujudan jawatan juga meningkat 1.6 peratus dengan 32,300 jawatan baharu direkodkan.
Dari segi produktiviti, nilai ditambah per pekerja meningkat 3.6 peratus kepada RM26,052, manakala produktiviti per jam bekerja naik 3.8 peratus kepada RM45.1 daripada RM43.5 setahun lalu.
Tambahnya, Malaysia terus menunjukkan ketahanan ekonomi meskipun berdepan cabaran global, disokong oleh permintaan domestik mantap serta pemulihan perdagangan dan pelaburan serantau.
“Prestasi ekonomi negara menjadi pemangkin kepada pengukuhan ringgit, antara yang terbaik di Asia pada 2025, hampir mencapai paras tertinggi dalam tempoh empat tahun susulan pelonggaran ketegangan perdagangan global dan peningkatan aliran masuk pelabur luar pesisir.
“Sektor perlombongan pula kembali pulih berikutan peningkatan pengeluaran minyak dan gas, manakala eksport terus meningkat selari pemulihan global, khususnya dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E),” katanya. – UTUSAN










