PETALING JAYA: Pelaksanaan subjek alam dan manusia dalam Kurikulum Persekolahan 2027 perlu disertai dengan latihan intensif guru dan penambahbaikan prasarana sekolah bagi memastikan keberkesanan pengajaran baharu itu.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, meskipun subjek itu pernah diperkenalkan 1982, pelaksanaannya menggunakan pendekatan dan kaedah penyampaian berbeza selaras dengan keperluan pendidikan semasa.
“Tajuknya sama tetapi kandungan dan kaedah penyampaiannya mungkin jauh berbeza. Jadi, Kementerian Pendidikan perlu mempergiat promosi dan beri contoh pelaksanaan agar guru dan masyarakat memahami konsepnya.
“Oleh itu, latihan guru perlu diberikan lebih awal dan secara intensif manakala kurikulum di Institut Pendidikan Guru (IPG) juga perlu diselaraskan dengan perubahan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pendidikan memperkenalkan subjek alam dan manusia untuk murid tahap satu dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Subjek itu pernah diperkenalkan pada 1982 melalui Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) sebelum digantikan dengan sains dan kajian tempatan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pelaksanaan pengajaran berpasukan atau co-teaching menuntut bilangan guru mencukupi, masa perancangan bersama dan kemudahan bilik darjah yang sesuai.
“Jika bilangan guru tidak mencukupi dan masa perbincangan tidak diperuntukkan, beban kerja guru akan meningkat,” katanya.
Katanya, ia menekankan keperluan penambahbaikan saiz bilik darjah yang kini terlalu sesak untuk pelaksanaan pengajaran dua guru serentak.
“Satu kelas boleh mencecah hingga 45 orang murid menyebabkan ruang menjadi sesak dan menyukarkan pelaksanaan co-teaching kerana seorang guru perlu mengajar di depan manakala seorang lagi bergerak membantu murid,” katanya.
“Oleh itu, infrastruktur perlu dipertingkatkan terlebih dahulu supaya pelaksanaan kaedah itu tidak menjadi bahan uji kaji yang akhirnya membebankan murid,” katanya.










