IPOH: Perak terus memberi cabaran kepada pendahulu Liga A1 Semi-Pro 2025-2026, Selangor II apabila membenam Kedah Darul Aman (KDA) 5-1 pada perlawanan di Kompleks Bola Sepak Perak Chepor di sini hari ini.
Dengan kemenangan itu, Perak mengutip 23 mata untuk kekal di tangga kedua liga di belakang Selangor II.
Anak buah Syamsol Saad sepatutnya memenangi perlawanan dengan gol lebih besar jika menyudahkan rentetan peluang gol yang dimiliki.
KDA walaupun cuba memberi tentangan tetapi ternyata bukan tandingan kepada corak kemas permainan pasukan tuan rumah.
Pintu gol KDA hanya bertahan selama 23 minit sebelum dirobek Kamal Arif Azrai Shakimar.
Perak menggandakan usaha dan berjaya melebarkan kedudukan 2-0 melalui jaringan Ahmad Daniel Hakimi pada minit ke-34.
Seminit kemudian, giliran Muhamad Alif Zikri mengukir nama selaku penyumbang gol ketiga Perak.
Pemain import, Ekene Victor Emewulu meletakkan tuan rumah selesa mendahului 4-0 dengan jaringan pada masa kecederaan.
Kedah merapatkan jurang pada awal babak kedua melalui jaringan Muhammad Iqbal Hazim.
Perak menambah gol kelima melalui Ekene dalam masa kecederaan untuk melengkap kemenangan besar pasukan Kejor Yob Kejor. – UTUSAN









