IPOH: Kerajaan Perak belum membuat keputusan untuk mewajibkan konsep bina dan jual (BTS) bagi projek perumahan baharu di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, keputusan itu memerlukan penelitian yang teliti dan mendalam terhadap beberapa faktor termasuk kekukuhan kewangan pemaju, khususnya yang berskala kecil dan sederhana.
Katanya, projek perumahan melalui konsep BTS memerlukan modal permulaan yang jauh lebih besar dan keadaan itu dikhuatiri meningkatkan harga rumah sekiranya pemaju memindahkan kos pembiayaan awal kepada pengguna.
“Selain itu, faktor lain yang perlu diambil kira ialah kesediaan rantaian industri seperti pembiayaan bank, kawal selia, serta insentif yang diperlukan agar pelaksanaan BTS dapat dijalankan secara mampan.
“Faktor keserasian dengan pasaran perumahan di Perak termasuk permintaan, kemampuan rakyat dan struktur industri pemajuan negeri juga perlu diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chaw Kam Foon (Menglembu-PH) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15, di sini hari ini.
Menurut beliau, sebagai persediaan awal sekiranya konsep BTS dimuktamadkan pelaksanaannya oleh kerajaan Persekutuan, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah mengambil beberapa langkah persediaan.
Antara langkah tersebut katanya, termasuk mengadakan siri libat urus bersama pemaju, institusi kewangan, persatuan hartanah dan pemain industri.
Beliau berkata, langkah lain ialah mendapatkan maklum balas mengenai keperluan, cabaran dan model kewangan yang sesuai, menjalankan kajian dalaman terhadap model BTS yang berjaya di negeri-negeri lain serta menilai kesediaan pasaran perumahan Perak mengikut segmen dan kategori projek.
“Usaha ini penting untuk memastikan sekiranya BTS dilaksanakan secara lebih meluas pada masa hadapan, Perak berada dalam keadaan bersedia dari segi dasar, mekanisme pelaksanaan dan kesiapsiagaan industri,” katanya. – UTUSAN










