BAGAN DATUK: Rumah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kampung Sungai Nipah Darat di sini turut dilanda banjir berikutan hujan berterusan.
Tinjauan mendapati paras air naik sehingga ke paras lutut di kawasan rumah Ahmad Zahid dan difahamkan keadaan itu berlaku sejak dua hari lalu.
Ketika dihubungi, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, jika banjir melanda kampungnya, bermakna paras air laut sudah naik tinggi di sekitar Bagan Datuk.
“Kedudukan rumah saya agak tinggi tapi masih dilanda banjir. Ini bermakna paras air laut semakin tinggi dan masuk hingga ke kampung ini.
“Ini boleh menyebabkan banjir termenung di kawasan kampung ini kerana air bertakung tidak dapat mengalir dengan lancar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, Bagan Datuk antara lapan daerah di negeri ini yang dilanda banjir melibatkan 598 mangsa dari 197 keluarga yang kini ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, banjir yang melanda daerah ini adalah yang terburuk sejak 2010.
“Saya menasihatkan penduduk berhati-hati terutama yang tinggal berhampiran dengan sungai. Jika rasa perlu, berpindahlah ke pusat pemindahan sementara yang telah disediakan,” katanya.
Seorang mangsa banjir, Mohd. Nahar Sarip, 55, berkata, banjir adalah masalah utama di kawasan itu yang dialaminya sejak dahulu lagi.
Katanya, setiap kali banjir, banyak peralatan rumah yang rosak menyebabkan dia menanggung kerugian.
“Kami di sini biasanya menjelang bulan Oktober akan meletakkan barangan rumah di tempat tinggi kerana khuatir air naik dengan cepat memandangkan rumah kami dekat dengan Sungai Perak,” katanya.
Samat Abdullah, 50, dari Kampung Sungai Haji Muhamad berkata, banjir mudah melanda kawasan di sini kerana parit semakin sempit dan cetek akibat hakisan.-UTUSAN.










