Penyakit lama berulang, dibolosi saat akhir perlawanan - Utusan Malaysia

Penyakit lama berulang, dibolosi saat akhir perlawanan

PEMAIN Malaysia, Azrai Abu Kamal (tengah) cuba melepasi halangan pemain New Zealand semasa perlawanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penyakit lama iaitu melepaskan gol pada minit akhir perlawanan terus menghantui skuad hoki negara pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di sini semasa bertemu New Zealand semalam.

Pada perlawanan itu, Speedy Tigers mendahului 2-1 dan tampak mampu mengutip mata penuh selepas berjaya bertahan sebelum New Zealand memadam kelebihan itu menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-58.

“Nampaknya penyakit lama, kita dinafikan kemenangan oleh jaringan penyamaan lawan pada minit akhir permainan dan situasi ini berterusan.

“Kita kena perbaiki gejala ini kerana ia merugikan kita,” kata Ketua Jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh.

Pada perlawanan semalam, Malaysia bermain baik malah mendahului 2-0 melalui jaringan Silverius Shello dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-10 dan ke-22.

Bagaimanapun, New Zealand merapatkan jurang melalui penalti stroke Sam Lane (ke-26) dan Dylan Thomas (ke-58).

Sarjit menyifatkan gol itu berpunca daripada kealpaan kawalan dan mahu pemain memastikan ia tidak berulang apabila bertemu Kanada malam ini, iaitu pasukan ranking ke-20 dunia.

Apatah lagi Kanada hampir mengaibkan pilihan utama kejohanan, Belgium apabila mengikat lawan 1-1 pada perlawanan semalam.

Malah Belgium terpaksa menunggu hingga saat akhir untuk mendapatkan gol penyamaan.

Berdasarkan persembahan ketika menentang Belgium, Kanada ternyata bukan lawan yang mudah buat pasukan negara.

Untuk itu, anak buah Sarjit tidak boleh bersikap terlalu yakin, lebih penting tidak mengambil mudah perlawanan kedua mereka hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN