BAGAN DATUK: Penduduk daerah ini bangga apabila Jambatan Sultan Nazrin Shah yang menghubungkan pekan Bagan Datuk dengan Kampung Sejagop di sini, meraih tempat kedua bagi kategori Jalan Komuniti dalam Anugerah Projek Terbaik Mino sempena Persidangan Persatuan Kejuruteraan Jalan Raya Asia dan Australasia (REAAA) di Korea Selatan, baru-baru ini.
Anugerah berprestij itu disampaikan pada majlis kemuncak persidangan yang berlangsung dari 27 Oktober hingga 1 November lalu, bagi mengiktiraf projek infrastruktur jalan raya yang memberikan impak besar kepada komuniti dari segi teknikal, sosial dan ekonomi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Presiden REAAA, Sung-Hwan Kim.
Seorang penduduk tempatan, Hassan Saful, 69, berkata, kejayaan itu merupakan satu kebanggaan bukan sahaja buat rakyat Bagan Datuk malah seluruh negeri Perak.
“Saya amat bangga apabila Jambatan Sultan Nazrin Shah menerima pengiktirafan antarabangsa. Sejak jambatan ini siap, ramai pengunjung datang ke Bagan Datuk dan keadaan itu memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, jambatan sepanjang 1.5 kilometer itu memudahkan pergerakan antara Hutan Melintang, Selekoh, Bagan Datuk, Kampung Sejagop serta kawasan sekitar Perak Tengah dan Manjung.
“Dulu perjalanan mengambil masa lebih sejam, kini hanya kira-kira tujuh minit sahaja. Ia betul-betul mengubah kehidupan kami,” kata.
Seorang lagi penduduk, Ramlah Rafial, 68, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu rahmat kepada masyarakat setempat.
“Sejak jambatan dibuka, banyak pembangunan muncul di Bagan Datuk. Ada Politeknik, MRSM, Kompleks Sukan dan pelbagai tarikan baharu yang menjadikan kawasan ini semakin dikenali,” ujarnya.
Katanya, pembukaan jambatan itu turut memberi kesan positif kepada sektor pelancongan dan perniagaan apabila Dataran Waterfront Bagan Datuk kini menjadi tumpuan pengunjung, sekali gus melonjakkan hasil jualan peniaga tempatan.
Pembinaan jambatan itu turut mencatat sejarah tersendiri kerana berjaya disiapkan walaupun berdepan cabaran besar seperti penularan Covid-19, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pertukaran kerajaan semasa pembinaannya. – UTUSAN










