JOHOR BAHRU: Pasangan selebriti terkenal, Neelofa dan suaminya, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, terus memperkukuh peranan mereka sebagai ikon keluarga Islam moden menerusi pelancaran buku terbaharu berjudul Bilal x Mommy Hana.
Buku berkenaan merupakan hasil kolaborasi bermakna yang menekankan kepentingan pendidikan berteraskan nilai ketuhanan untuk kanak-kanak, sekali gus menjadi medium mendidik anak mengenal Tuhan sejak usia muda.
Majlis pelancaran yang berlangsung di AEON Tebrau, Johor Bahru, menerima sambutan luar biasa apabila hampir 3,000 pengunjung hadir, mencerminkan minat tinggi masyarakat terhadap usaha memperkasa pendidikan anak-anak melalui pendekatan menyeronokkan dan mendidik.
Menurut PU Riz, 30, buku tersebut bukan sekadar bacaan ringan, sebaliknya satu wadah untuk memupuk kecintaan terhadap ilmu dan Allah SWT sejak kecil.
“Buku Bilal x Mommy Hana ini kami setuju jalinkan kerjasama kerana Bilal sendiri mendapat banyak manfaat daripadanya. Melalui buku ini, dia belajar membaca al-Quran dan mengenal nama-nama binatang dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Jelasnya, projek itu bukan semata-mata kerjasama duta, tetapi kolaborasi perniagaan yang mempunyai matlamat mendalam terhadap pembangunan sahsiah kanak-kanak.
“Tujuan utama kami adalah untuk mengangkat institusi pendidikan kanak-kanak agar mereka mengenal Tuhan di usia muda. Pendidikan bukan hanya mengenai akademik, tetapi juga membentuk hati dan akhlak,” katanya.
Menariknya, sempena pelancaran itu, pasangan tersebut turut menyumbang RM15,000 kepada pengunjung yang berjaya menyambung ayat al-Quran, menjadikan majlis itu bukan sekadar pelancaran buku tetapi juga medan dakwah yang menginspirasi masyarakat untuk mendekatkan diri kepada al-Quran.
Sementara itu, Neelofa meluahkan rasa syukur dan bangga dengan penerbitan buku yang diinspirasikan daripada pengalaman sebenar mereka membesarkan anak sulung, Muhammad Bilal.
“Sebagai ibu, saya percaya pendidikan anak-anak bermula dari rumah. Buku ini sangat dekat di hati kerana ia menggambarkan cara kami mendidik Bilal iaitu dengan kasih sayang, nilai Islam dan aktiviti yang menyeronokkan.
“Saya berharap ia dapat membantu ibu bapa lain membentuk anak-anak mengenal Tuhan sejak kecil,” katanya.
Buku Bilal x Mommy Hana menggabungkan elemen pendidikan Islam, bahasa dan pembelajaran interaktif dengan rekaan mesra kanak-kanak yang menarik perhatian pembaca kecil. Ia dihasilkan sebagai panduan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak melalui pendekatan holistik dan penuh kasih sayang.-UTUSAN










