Pemain perlu kurangkan kesilapan - Utusan Malaysia

Pemain perlu kurangkan kesilapan

PEMAIN Malaysia, Muhajir Abdu Rauf (kiri) cuba melepasi halangan pemain India pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemain perlu kurangkan kesilapan jika mahu melihat pasukan kebangsaan beroleh kejayaan dalam perlawanan seterusnya pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-31 2025.

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Sarjit Singh berkata, ini kerana gejala itu adalah punca kekalahan 3-4 kepada India pada perlawanan hari ini.

“Pemain beraksi dengan baik dalam usaha memburu kejayaan namun mereka perlu mengurangkan kesilapan.

“Tahun ini ternyata tidak begitu bagus kerana tidak mendapat keputusan yang memihak kepada kita tetapi saya berharap nasib kita akan bertambah baik.

“Kita kena perkukuhkan benteng. Bahagian serangan dan tengah bermain dengan baik, ” kata Sarjit selepas perlawanan di sini hari ini.

Dalam perlawanan di Stadium Azlan Shah di sini, India turun dengan misi mesti menang selepas tumpas 2-3 kepada Belgium semalam.

Anak buah Craig Fulton melancar serangan sebaik perlawanan bermula dan berjaya menjaringkan gol melalui S. Karti pada minit ke-7 namun Faizal Saari menyamakan kedudukan pada minit ke-13.

India kembali mendahului apabila Sukjeet Singh menyempurnakan peluang pada minit ke-21 dan jaringan padang, Fitri Saari pada minit ke-36 kembali menjadikan kedudukan seimbang.

Bagaimanapun kealpaan benteng menyaksikan India menjaringkan gol melalui Amit Rohidas pada minit ke-39.

Malaysia berjaya menyamakan kedudukan buat kali ketiga melalui pukulan sudut penalti kapten, Marhan Jalil pada minit ke-45.

Dengan perlawanan tampak menuju seri 3-3, Malaysia melakukan kesilapan yang menyebabkan India dihadiahkan penalti strok tujuh minit sebelum tamat perlawanan.

Ketua pasukan India, Sajay Rana menguis kencang bola melepasi Hafizuddin Othman untuk gol kemenangan juara lima kali kejohanan jemputan itu pada minit ke-57. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN