KUALA LUMPUR: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli menyertai Raja Muda Selangor International Regatta (RMSIR) edisi ke-35 bermula semalam.
Baginda bersama kru kapal layar Maduzi telah menamatkan perlumbaan pertama dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pangkor sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang esok.
RMSIR yang berlangsung dari 14 hingga 22 November itu menghimpunkan pelayar tempatan dan antarabangsa dalam sebuah siri perlumbaan yang mencabar, merangkumi laluan tradisi Pelabuhan Klang – Pangkor – Pulau Pinang – Pulau Langkawi.
Regatta Diraja yang telah berusia 35 tahun itu merupakan kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan dianggap paling sukar di Asia Tenggara.
Kejohanan tersebut adalah cetusan idea Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda bergelar Raja Muda.
Sepanjang perjalanan regatta, orang ramai khususnya komuniti pelayaran dan para peminat sukan boleh mengikuti perkembangan terkini baginda melalui platform media sosial rasmi iaitu di
Instagram: Friend of RMS dan Tik Tok, Friend of RMS.-UTUSAN







