KUBANG PASU: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) mengakui proses menyelamatkan mereka yang terkandas banjir di Wangburapa Grand Hotel di Hat Yai, Thailand berdepan kesukaran kerana terletak berdekatan sungai.
Menurut Aaisya Nor Akbar, 22, dia mewakili rakan-rakannya menghargai usaha pelbagai pihak terutama Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba menyelamatkan mereka.
“Kami tahu ada banyak halangan yang menyebabkan mereka tidak dapat bantu, namun kami sangat menghargai usaha dan inisiatif dilakukan.
“Banyak juga NGO yang cuba nak bantu tetapi akhirnya pihak konsulat yang berjaya bantu kami. Malah, kami tidak akan sesekali melupakan kebaikan dan pertolongan rakyat Thailand sepanjang terkandas,” katanya ketika ditemui.
Rakannya, Abdul Hannan Abdul Halim, 20, berkata, penduduk negara jiran itu ada menyediakan makanan buat mereka yang sekurang-kurangnya dapat mengalas perut.
“Atas belas ihsan orang Thailand, mereka beri air minuman dan masak bubur setiap hari. Kami faham makanan itu juga perlu diagihkan kepada mangsa lain, jadi makanan dicatu.
“Kami kongsi satu mangkuk dua hingga tiga orang dan apabila dapat bekalan makanan kami kongsi satu bekas untuk tiga orang. Tanpa warga Thailand, kami mungkin kebuluran kerana tiada makanan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, rakyat Thailand yang terdiri daripada anggota tentera, bomba dan jurutera elektrik turut membantu mereka dengan membawa bateri kereta untuk mengecas telefon bimbit berikutan tiada bekalan elektrik.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kesemua 36 pelajar dan dua pensyarah UUM berjaya dibawa pulang ke tanah air setelah terkandas di Hat Yai, sejak Jumaat lalu.
Mereka tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada pukul 6.20 petang tadi dengan menaiki bas milik Prince of Songkhla University (PSU) setelah dipindahkan pihak berkuasa negara itu dari hotel. – UTUSAN










