Pelajar senior digantung sekolah, pengetua larang hubungi ibu bapa selepas Zara Qairina jatuh

Pelajar senior digantung sekolah, pengetua larang hubungi ibu bapa selepas Zara Qairina jatuh

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar memberitahu seorang senior telah digantung pembelajarannya sehari selepas pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir ditemukan terlentang dan tidak sedarkan diri.

Sehari sebelum itu, terdapat pengumuman yang melarang para pelajar daripada menghubungi ibu bapa masing-masing selama dua hari bermula pada tarikh Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri (16 Julai lalu) hingga 18 Julai lalu.

Ujar saksi yang dipanggil oleh pasukan peguam mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina untuk memberi keterangan dalam inkues tersebut, larangan itu merupakan arahan pengetua sekolah terbabit.

Tambah saksi kanak-kanak ke-35 itu, para pelajar hanya dibenarkan menghubungi ibu bapa masing-masing selepas pengawal keselamatan, Linah Mansoding atau turut dikenali sebagai Aunty Linah rimas dengan pelajar-pelajar meminjam telefonnya untuk menghubungi keluarga mereka.

Keadaan pelajar pada masa itu ketakutan dan ramai yang menangis.

Bercerita lanjut, saksi inkues ke-44 tersebut memberitahu, pada malam 17 Julai lalu, selepas solat Isyak, pelajar perempuan telah diminta oleh guru-guru untuk tunggu di Musollah (surau) dan terdapat beberapa guru yang meminta para pelajar untuk berhenti membuli.

Selepas itu, saksi berkenaan mendapat tahu bahawa pada malam berkenaan terdapat pelajar senior yang telah digantung sekolah.

Pada malam itu juga, terdapat seorang senior menjerit kepada rakan-rakan dorm Zara Qairina
“sukalah kamu (pelajar senior) kena gantung sekolah!”

Saksi turut memberitahu, pada Mei lalu, sewaktu minggu peperiksaan pertengahan tahun, Zara Qairina pernah meminjam kad panggilan saksi untuk menghubungi ibunya.

Ketika itu, saksi terbabit memberitahu dia ada terdengar Zara Qairina mengadu dengan ibunya mengenai seorang senior dan geng-geng senior terbabit bercakap buruk mengenai remaja terbabit.

Selain itu, pada malam sebelum kejadian Zara Qairina ditemukan terlentang dan tidak sedarkan diri, saksi ada terdengar perbualan berkaitan remaja terbabit ketika hendak mengeringkan pakaian di bilik ‘laundry’.

Perbualan itu antara lain menyatakan Zara Qairina sok-sok (perasan) Badar (pengawas Badan Dakwah dan Rohani).

Ujar saksi berkenaan, pada hari kejadian, tiada mana-mana warden bertugas di asrama sebaliknya hanya senior menjaga junior.

Tambah saksi itu, sekiranya ada warden bertugas malam itu, kejadian yang menimpa Zara tidak akan berlaku.

Dia turut memberitahu, ia yang merupakan lokasi Zara Qairina disoal siasat oleh beberapa senior termasuk ahli kumpulan Circle 19 merupakan tempat lepak pelajar senior dan tempat menyorokkan telefon bimbit di atas siling.

Sebelum saksi itu mengakhiri keterangannya, dia memberitahu bahawa dia hadir memberi keterangan kerana tidak mahu merasa menyesal pada kemudian hari kerana memendamkan maklumat.

Dia hadir secara sukarela ke Mahkamah Koroner selepas dinasihati oleh ibu bapanya dalam mencari penyelesaian dalam inkues kematian Zara Qairina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN