Pelabuhan Malaysia-China model kerjasama maritim bawah inisiatif BRI

Pelabuhan Malaysia-China model kerjasama maritim bawah inisiatif BRI

HASBI Habibollah menerima cenderamata daripada Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Ean Yong Hian Wah selepas Mesyuarat Tahunan ke-6 CMPA 2025 di Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Perikatan Pelabuhan China–Malaysia (CMPA) kini berkembang menjadi model kerjasama maritim di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), melibatkan 24 pelabuhan ahli masing-masing sembilan dari Malaysia dan 15 dari China.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, melalui platform CMPA, pelabuhan kedua-dua negara terus memperkukuh hubungan perniagaan, berkongsi pengetahuan serta kecemerlangan operasi, sekali gus membuka jalan ke arah kerjasama teknologi, logistik dan pelabuhan hijau.

Menurutnya, hubungan Malaysia–China yang memasuki usia 51 tahun kekal utuh dan berkembang pesat, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM484 bilion pada 2024, bersamaan 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Perkembangan itu selaras dengan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China 3.0 (ACFTA 3.0) yang membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan, ekonomi digital dan pertumbuhan hijau.

“ACFTA 3.0 mengukuhkan usaha Malaysia membina pelabuhan yang pintar, lestari dan berdaya saing, dalam rangka perdagangan serantau yang inklusif serta berpaksikan kemakmuran bersama,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Ke-6 China–Malaysia Port Alliance (CMPA) di sini hari ini..

Jelasnya lagi, Pelabuhan Klang yang kini tersenarai ke-10 tersibuk dunia dengan 14.64 juta TEUs, dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di tempat ke-15 dengan 12.25 juta TEUs.

Sementara itu, Hasbi berkata, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap akhir 2026 bakal menjadi pemangkin penting kepada jaringan logistik nasional dan memperkukuh integrasi antara Pelabuhan Klang dan Kuantan Port.

“ECRL akan mengurangkan masa penghantaran dan kos logistik, seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik dan pemindahan muatan serantau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN