KUALA LUMPUR: Pulau Pinang merupakan sebuah negeri berdaulat dan sebarang dakwaan negeri itu masih tertakluk kepada mana-mana negeri lain termasuk Kedah adalah tidak berasas.
RSN Rayer (PH–Jelutong) berkata, kenyataan terbaharu oleh Menteri Besar Kedah yang mendakwa Pulau Pinang dipajak daripada Kedah dan akan dituntut semula hanya menimbulkan kekeliruan serta polemik tidak berasas yang perlu dihentikan segera.
“Negara kita sudah merdeka selama 68 tahun, tetapi isu ini masih dimainkan. Sampai bila kita mahu terus membangkitkan perkara ini?
“Pulau Pinang mempunyai kerajaan sendiri, rakyatnya sendiri, bendera, lagu negeri. Semua ini membuktikan Pulau Pinang ialah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia,” katanya ketika membahaskan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Dewan Rakyat hari ini.
Rayer berkata, tindakan mengulang-ulang isu tuntutan terhadap Pulau Pinang bukan sahaja menjejaskan keharmonian antara negeri, malah boleh mengelirukan rakyat terutama generasi muda mengenai status sebenar negeri tersebut.
“Jangan jadikan ia bahan permainan politik atau sentimen kenegerian yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya sistem pemetaan sempadan negeri-negeri di Malaysia diperkukuh agar kedudukan dan kedaulatan setiap negeri dapat dijelaskan dengan tepat dalam bahan pengajaran serta peta rasmi negara.
“Saya mohon pihak kementerian memastikan bahan pengajaran dan sistem pemetaan negara diperbetulkan supaya pelajar faham Pulau Pinang bukan sebahagian daripada mana-mana negeri lain,” katanya.
Menurut Rayer, hubungan baik antara rakyat Kedah dan Pulau Pinang perlu terus dipelihara memandangkan kedua-dua negeri itu saling bergantung dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan.
“Isu ini bukan soal politik, tetapi soal fakta dan kedaulatan. Kita tidak mahu rakyat Pulau Pinang dan Kedah berpecah hanya kerana polemik yang tidak sepatutnya timbul.
“Pulau Pinang dan Kedah berkongsi sejarah serta hubungan ekonomi yang erat. Oleh itu, jangan timbulkan polemik yang boleh menggugat keharmonian antara rakyat kedua-dua negeri,” katanya.
Sementara itu, Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) turut bersetuju dengan kenyataan tersebut dan mendakwa isu tuntutan terhadap Pulau Pinang sering dimainkan pihak tertentu bagi mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan pentadbiran ekonomi kerajaan negeri Kedah.
“Perkara ini sengaja dibangkitkan untuk menimbulkan sentimen kenegerian supaya rakyat lupa kepada isu sebenar iaitu kegagalan mengurus ekonomi negeri,” katanya. – UTUSAN










