PARLIMEN: Pembangunan ekonomi hidrogen diperkukuh

PARLIMEN: Pembangunan ekonomi hidrogen diperkukuh

CHANG LIH KANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha merancakkan pembangunan ekonomi hidrogen negara sedang diperkukuh melalui pelbagai insentif kewangan, pelaburan serta teknologi baharu yang tidak bergantung kepada penggunaan tenaga elektrik tinggi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, pendekatan itu selari dengan Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021-2030 serta Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) dengan sasaran menjadikan Malaysia hab penghasilan hidrogen hijau di rantau.

Katanya, beberapa projek demonstrasi turut diterjemahkan di lapangan termasuk melalui program Kampung Angkat Madani yang menekankan pembangunan tenaga bersih dan lestari.

“Penghasilan hidrogen tidak semestinya memerlukan tenaga elektrik yang tinggi bergantung kepada teknologi penghasilan hidrogen yang digunakan.

“Projek elektrifikasi di kawasan luar bandar melalui penghasilan hidrogen daripada pepejal (solid state) daripada sistem luar grid atau HyPEReactor ialah teknologi yang julung kali diperkenalkan di Malaysia tanpa penggunaan elektrik yang tinggi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai usaha kerajaan dalam menyediakan insentif-insentif tertentu bagi merancakkan ekonomi hidrogen yang memerlukan tenaga elektrik tinggi.

Tambahnya, aspek pembiayaan turut diperkukuh melalui Malaysia Debt Ventures (MDV), yang melancarkan program sukuk bernilai RM2 bilion, selain dana sukuk khusus greentech yang disokong Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS).

“Kerajaan turut memperluas Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Green Income Tax Exemption (GITE) kepada teknologi hidrogen, di samping pengecualian duti dan cukai import.

“Pelbagai langkah dasar turut dicadangkan untuk menurunkan kos pengeluaran hidrogen, termasuk pakej tarif tenaga boleh baharu ke hidrogen, kelonggaran akses grid dan penggunaan Renewable Energy Certificates (REC),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN