KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti mekanisme baharu subsidi diesel bagi pemandu e-hailing dan teksi (p-hailing) bagi memastikan bantuan disalurkan secara bersasar dan telus.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, peruntukan subsidi bagi kedua-dua kategori berbeza iaitu 300 liter tambahan sebulan untuk pemandu e-hailing dan 1,400 liter sebulan bagi pemandu teksi, dan mekanisme baharu itu akan menyelaraskan pemberian bantuan tersebut.
“Langkah ini dibuat untuk mengelakkan ketirisan dan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima subsidi,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, mekanisme baharu juga akan memperkukuh proses verifikasi, termasuk rekod penggunaan dan semakan kelayakan penerima, bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar sahaja.
Lim berkata, kementerian dijangka mengumumkan mekanisme rasmi dalam minggu ini, selepas kajian terperinci dan pengesahan semua prosedur dilengkapkan.
Menurutnya, usaha itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan sistem BUDI atau Bantuan Subsidi Diesel Individu, yang bertujuan memastikan pemberian subsidi lebih adil, berkesan dan memberi manfaat maksimum kepada golongan sasar, termasuk pemandu e-hailing dan teksi.
Katanya, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan mekanisme baharu ini bagi memastikan sistem berjalan lancar dan memberi manfaat sebenar kepada penerima layak. – UTUSAN







