KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka dapat menjimatkan antara RM2 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel menerusi sistem bantuan Subsidi Diesel Individu (BUDI)
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata, anggaran penjimatan itu mengambil kira julat harga minyak mentah dunia antara AS$60 hingga AS$80 setong.
Menurutnya, langkah itu adalah strategi kerajaan untuk memastikan subsidi diesel digunakan dengan lebih efisien.
“Penjimatan ini akan digunakan semula bagi memperkukuh inisiatif kebajikan rakyat serta pembangunan ekonomi negara,” katanya menjawab soalan tambahan Chong Zhe Min (PH-Kampar) di Dewan Rakyat, hari ini.
Hui Ying berkata, pelaksanaan BUDI pada bulan pertama menunjukkan prestasi memberangsangkan tanpa sebarang kesesakan di stesen minyak.
Pengguna juga katanya, dilaporkan semakin biasa menggunakan BUDI95 bagi mendapatkan diesel bersubsidi.
“Sistem BUDI turut menyediakan platform digital yang telus dan mudah dipantau. Setiap transaksi direkodkan, membolehkan pihak berkuasa mengesan sebarang penyalahgunaan, sekali gus meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam penyaluran subsidi,” katanya.
Hui Ying berkata, kerajaan juga sentiasa menilai sistem berkenaan untuk penambahbaikan, termasuk menambah stesen minyak penyertaan dan memperluas capaian kepada golongan sasar di kawasan luar bandar.
“Ini bertujuan memastikan subsidi diesel sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya. – UTUSAN







