KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal berpegang kepada prinsip menghormati kebebasan media dan tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana organisasi berita hanya kerana laporan mereka tidak sehaluan dengan pendirian kerajaan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, perbezaan pandangan antara kerajaan dan media perlu ditangani secara matang dengan memberi penjelasan terbuka, bukan dengan cara memanggil media untuk memberi keterangan setiap kali wujud laporan yang tidak dipersetujui.
“Kerajaan Madani seperti yang sering ditegaskan oleh Perdana Menteri berpegang kepada prinsip menghormati kebebasan media.
“Walaupun ada kandungan atau laporan yang kita tidak bersetuju, kerajaan akan menyatakan pendirian dengan cara terbuka bukan dengan menekan atau memanggil media untuk memberi keterangan
“Sekiranya kerajaan mengambil tindakan dengan memanggil Malaysiakini untuk memberi keterangan, saya percaya pihak pembangkang pula akan menuduh kerajaan tidak menghormati kebebasan media. Inilah perbezaan antara kerajaan Madani dengan pihak pembangkang,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) yang membangkitkan laporan portal Malaysiakini pada September lalu mengenai dakwaan wujudnya 263 akaun tentera siber yang dikatakan menyebarkan sokongan palsu terhadap Perdana Menteri di media sosial.
Nie Ching berkata, kerajaan tidak bercadang memanggil portal media berkenaan untuk memberi penjelasan kerana syarikat platform media sosial, Meta sendiri telah menafikan kewujudan sebarang aktiviti luar biasa atau akaun palsu berkaitan dakwaan itu.
Katanya, laporan antarabangsa juga menunjukkan isu akaun palsu bukanlah perkara baharu, malah Reuters pernah melaporkan dakwaan sekitar 10 peratus hasil pendapatan Meta pada 2024 diraih daripada iklan penipuan dan perjudian dalam talian.
“Memang kita akui banyak akaun palsu diwujudkan di media sosial termasuk untuk tujuan penipuan (scam), tetapi dalam kes ini META sendiri telah mengeluarkan kenyataan tiada aktiviti tidak normal dikesan.
“Jadi, kerajaan menerima penjelasan daripada Meta dan tidak melihat keperluan untuk memanggil mana-mana organisasi media dalam hal ini,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan ini jelas membezakan kerajaan Madani dengan pembangkang kerana kerajaan kini komited mengekalkan ruang media yang bebas dan bertanggungjawab.
“Kita tidak menekan media, sebaliknya memperkukuh peranan mereka sebagai rakan semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara,” katanya. – UTUSAN










