KUALA LUMPUR: Peluang kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) melalui UPUOnline adalah sama rata tanpa mengutamakan mana-mana aliran termasuk lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi atau Asasi serta memastikan proses pemilihan pelajar benar-benar berasaskan merit.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, dasar pengambilan pelajar yang diguna pakai ketika ini berlandaskan prinsip meritokrasi dengan pecahan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.
Katanya, semua calon yang mempunyai markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup atau lokasi tempat tinggal diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian di IPTA dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) melalui prinsip ini.
“Peluang penawaran UPUOnline adalah sama rata dan tiada keutamaan diberikan kepada mana-mana aliran. Pengambilan pelajar dilaksanakan secara adil, telus dan sistematik, merangkumi proses permohonan, pemprosesan, pemilihan, hebahan dan rayuan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH–Kampar) yang meminta penjelasan sama ada sistem UPU sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan ketelusan proses pemilihan serta langkah mengurangkan rungutan pelajar cemerlang yang tidak mendapat program pilihan.
Menurut Mustapha, pemilihan program pengajian dibuat berdasarkan pelbagai kriteria termasuk pencapaian akademik, penyertaan kokurikulum, kombinasi mata pelajaran yang relevan dan gred mata pelajaran untuk pengiraan markah akademik.
Selain itu, kriteria lain termasuk pematuhan Syarat Am dan Syarat Khas program, kelulusan temu duga atau ujian (jika ditetapkan), pilihan program mengikut keutamaan calon serta bilangan tempat yang ditawarkan.
Menurut beliau, bagi mengurangkan rungutan pelajar cemerlang yang gagal memperoleh kursus pilihan, calon dinasihatkan meneliti Syarat Am dan Syarat Khas program di dalam e-Panduan sebelum mengemukakan permohonan.
“Pemohon turut dibantu membuat pilihan lebih tepat melalui beberapa fungsi dalam UPUOnline, antaranya tapisan syarat program pengajian iaitu hanya program yang memenuhi kelayakan akademik calon akan dipaparkan bagi memastikan pemilihan dibuat berdasarkan syarat ditetapkan.
“Kalkulator merit menyediakan kaedah pengiraan merit untuk lepasan SIjil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM/Setaraf mengikut aliran masing-masing serta membantu calon mengenal pasti program bersesuaian dengan markah merit yang diperoleh,” katanya.
Mustapha berkata, kesemua inisiatif itu merupakan komitmen kementerian untuk memastikan akses pendidikan tinggi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. – UTUSAN










