PARLIMEN: Dua petak parkir setiap rumah kurangkan kesesakan

PARLIMEN: Dua petak parkir setiap rumah kurangkan kesesakan

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penetapan keperluan minimum dua petak parkir bagi pembangunan kediaman di Kuala Lumpur sebagaimana digariskan dalam garis panduan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mampu mengurangkan masalah kesesakan parkir di kawasan perumahan yang semakin padat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu selaras dengan sasaran Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang diwartakan pada 19 Oktober 2023 iaitu meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam kepada 70 peratus menjelang 2040.

Katanya, penetapan dua petak parkir itu dibuat berdasarkan jenis dan harga kediaman bagi memastikan penyediaan tempat letak kereta mencukupi serta tidak menambah tekanan di kawasan perumahan sedia ada.

“Beberapa dasar perancangan telah digariskan dalam PSKL2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 untuk menangani isu kesesakan parkir, antaranya menggalakkan pembangunan berkonsepkan transit-oriented development (TOD) yang mengintegrasikan pembangunan dengan sistem pengangkutan awam dan mobiliti rendah karbon.

“Selain itu, kerajaan turut merancang mekanisme baharu perkongsian tempat letak kereta antara pembangunan perumahan dan pembangunan komersial seperti pejabat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH–Bandar Tun Razak) mengenai keberkesanan dasar perancangan bandar menetapkan dua petak parkir bagi setiap unit kediaman mampu menangani isu kesesakan parkir di kawasan perumahan khususnya di Kuala Lumpur yang semakin padat.

Zaliha berkata, langkah mengoptimumkan penggunaan ruang di bawah laluan Transit Aliran Ringan (LRT) dan lebuh raya sebagai kawasan parkir yang sesuai juga sedang diteliti bagi menambah kapasiti parkir di lokasi strategik.

Katanya, pendekatan pelbagai dimensi itu penting bagi menangani kekangan ruang di bandar raya yang semakin padat, selain memastikan perancangan bandar Kuala Lumpur bergerak seiring dengan keperluan mobiliti masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN