KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) termasuk menilai keperluan memperincikan peruntukan berkaitan nafkah ibu bapa agar selari dengan prinsip hukum syarak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kerajaan komited memastikan kewajipan anak menanggung nafkah ibu bapa yang uzur, tidak berpendapatan atau tidak berupaya menyara diri dilaksanakan dengan berkesan
Katanya, ia juga merupakan responsif terhadap keperluan serta realiti semasa masyarakat Islam di Malaysia terutama menuju status negara tua menjelang 2030.
“Hukum syarak menetapkan memberi nafkah kepada ibu bapa yang fakir, tidak berkemampuan atau tiada sumber pendapatan adalah kewajipan ke atas anak-anak, tanpa mengira lelaki atau perempuan sebagaimana dihuraikan melalui Irsyad Hukum Siri Ke-410 oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
“Hukum ini berasaskan prinsip nafqatul qarabah iaitu tanggungan nafkah terhadap ibu bapa oleh keluarga terdekat.
“Semua anak dipertanggungjawabkan untuk saling membantu memenuhi keperluan asas ibu bapa yang tidak berupaya, lebih-lebih lagi bagi anak yang mempunyai kemampuan dan kelebihan harta,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) mengenai langkah kerajaan menambah baik peruntukan undang-undang keluarga Islam bagi mewajibkan nafkah ibu bapa khususnya apabila mereka berada dalam keadaan uzur, tidak berpendapatan atau tidak mampu menyara diri sendiri.
Mengulas langkah pengukuhan perundangan, Mohd. Na’im berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang mengusahakan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah yang memperuntukkan punca kuasa lebih jelas dan khusus berkaitan nafkah serta jagaan ibu bapa.
Katanya, langkah itu akan memastikan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa yang lebih kukuh untuk menangani tuntutan kebajikan ibu bapa yang uzur atau tidak berupaya.
“Pada masa sama, Jakim sedang melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Akta 303 untuk penelitian lanjut terhadap aspek berkaitan nafkah ibu bapa dalam undang-undang keluarga Islam,” katanya.
“Penyediaan draf undang-undang baharu sedang digerakkan secara aktif melalui penelitian perundangan, libat urus bersama pihak berkepentingan dan semakan teknikal bagi memastikan penggubalan tersebut benar-benar memenuhi keperluan masyarakat serta selaras dengan hukum syarak,” katanya. – UTUSAN










