KUALA LUMPUR: Mana-mana Ahli Majlis Media Malaysia (MMM) yang melanggar peruntukan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 (Akta 868) boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan mekanisme penguatkuasaan ditetapkan dalam undang-undang berkenaan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, mekanisme tatatertib itu diwujudkan bagi membolehkan MMM mengambil tindakan terhadap ahli yang gagal mematuhi kod tatalaku, garis panduan, arahan atau pekeliling yang dikeluarkan oleh majlis atau lembaga mengikut mana-mana yang berkenaan.
“Akta 868 berperanan memastikan standard kewartawanan beretika, bertanggungjawab dan profesional dilaksanakan oleh pengamal media di negara ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (PH–Simpang Renggam) mengenai langkah kerajaan dalam mempertahankan imej kerajaan yang dikatakan tidak dapat mengawal media daripada memburukkan pemimpin dan pentadbiran.
Nie Ching berkata, MMM mula beroperasi secara rasmi selepas Akta 868 berkuat kuasa pada 14 Jun 2025 dan telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama pada 7 November 2025 di mana Kod Tatakelakuan dan Mekanisme Aduan turut diluluskan dengan beberapa pindaan.
“Langkah ini menandakan satu fasa penting dalam usaha membina ekosistem media yang lebih kukuh, beretika dan diyakini rakyat selaras dengan prinsip kebebasan media yang bertanggungjawab,” katanya.
Kata beliau, MMM berpegang kepada prinsip ‘of the media, by the media, for the media’ dan bukan sekadar bertindak sebagai pengawas etika kewartawanan, tetapi menyediakan saluran penyelesaian aduan terhadap laporan media bagi memastikan hak dan kepentingan masyarakat sentiasa dilindungi.
“Kewujudan MMM bukan bertujuan mengawal media, sebaliknya bagi mempertingkat kebertanggungjawaban dan profesionalisme pengamal media supaya laporan yang disiarkan sentiasa berlandaskan fakta, etika dan integriti kewartawanan,” katanya. – UTUSAN










