PARLIMEN: 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kes penipuan dalam talian

PARLIMEN: 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kes penipuan dalam talian

MOHAMAD Hasan ketika sidang Dewan Rakyat, hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan berkaitan penipuan dalam talian setakat 8 November tahun ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, angka itu hanya melibatkan kes berkaitan penipuan dalam talian dan tidak termasuk kesalahan lain yang menyebabkan ribuan rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas pelbagai sebab lain.

“Daripada jumlah tersebut, 765 individu merupakan kaum Cina, Melayu (34), India (33) dan lima daripada etnik lain,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai bilangan warga Malaysia yang sedang ditahan atau telah dijatuhi hukuman di luar negara sehingga kini melibatkan kes penipuan dalam talian dengan pecahan mengikut kaum, jantina dan negara tempat mereka berada.

Mohamad berkata, China mencatatkan jumlah penahanan tertinggi melibatkan 545 rakyat Malaysia diikuti Singapura (162), Jepun (34), Korea Selatan (22), India (20), Indonesia (11) dan Thailand (10).

“Di China sahaja, seramai 505 lelaki dan 40 wanita rakyat Malaysia ditahan berkaitan kes penipuan dalam talian,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad menasihati rakyat Malaysia supaya lebih berwaspada dan memahami undang-undang negara yang dilawati, terutama ketika bekerja atau berurusan di luar negara.

“Kementerian Luar melalui kedutaan serta pejabat perwakilan Malaysia di luar negara akan terus memberikan bantuan konsular sewajarnya, namun pematuhan undang-undang negara tuan rumah adalah tanggungjawab individu itu sendiri.

“Seboleh mungkin, kita mahu rakyat Malaysia menjadi pelancong yang cemerlang, mengembara dengan selamat dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN