LUMUT: Sepanjang kira-kira 300 meter Pantai Teluk Batik di sini mengalami hakisan teruk akibat dibadai ombak besar sejak Ahad lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hakisan menyebabkan kerosakan kepada kawasan pantai, ikon menara api dan kejadian pokok tumbang.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Muhammad Faizal Shah Safian berkata, kerosakan pantai yang berlaku disifatkan serius dan kali pertama berlaku.
Katanya, ombak besar membadai kawasan itu pada petang Ahad lalu dan hujan berterusan menyebabkan pantai tumpuan pelancong itu terhakis teruk.
“Hakisan pantai melibatkan sepanjang kira-kira 300 meter yang terjejas dengan pokok-pokok tumbang, struktur ikon menara api di pantai ini juga rosak.
“Ekoran keadaan ini, kami melakukan tindakan menutup serta merta semua aktiviti pantai di Teluk Batik sejak Selasa lalu, selari dengan arahan larangan aktiviti pantai oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Hebahan berkenaan perkara ini telah dimaklumkan di semua saluran laman web dan laman media sosial Majlis Perbandaran Manjung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, MPMa juga kini dalam pelaksanaan penilaian teknikal kerosakan yang berlaku di pantai Teluk Batik oleh jabatan-jabatan teknikal.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan di kawasan pantai terus dijalankan mengikut jadual sedia ada oleh kontraktor pembersihan lantikan Majlis Perbandaran Manjung.
“Kami nasihatkan orang ramai dan pelancong agar mematuhi arahan larangan aktiviti pantai seperti yang dihebahkan dan sentiasa menjaga keselamatan di musim banjir dan ombak besar,” katanya.
Menurutnya, kawasan pantai itu bahaya untuk dikunjungi ketika ini kerana ombak laut.
“Ombak makin kuat dan bila-bila masa saja akan sampai ke tebing pantai, ini membahayakan pengunjung di pantai ini,” katanya. – UTUSAN










