PORT DICKSON: Keindahan Pantai Telok Kemang di sini kini terjejas dengan masalah hakisan pantai sehingga menjejaskan kemudahan awam dan memberi risiko keselamatan kepada pengunjung.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebahagian binaan tebing di sekitar pantai tersebut telah retak dan pecah dipercayai daripada kesan hakisan yang berlaku.
Seorang penduduk, Muhammad Yazid Kamaruddin, 23, berkata, hakisan yang berlaku turut menjejaskan aliran air dan struktur pembentung berhampiran.
“Sekarang ini bila air pasang, pasir dan batu naik ke kawasan darat sehingga menyebabkan pembentung pecah. Kami harap pihak Majlis Perbandaran Port Dickson pantau kawasan ini dan ambil tindakan segera sebelum hakisan makin teruk,” katanya.
Katanya lagi, keadaan itu juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga dan pengunjung kerana boleh menjejaskan keselamatan serta imej pantai peranginan popular tersebut.
Seorang pengusaha bot, Muhamad Alif Samsudin, 24, berkata keadaan tebing yang tinggi serta kekurangan tangga menyukarkan pengunjung untuk turun ke pantai dan turut boleh menyebabkan kemalangan.
“Sekarang ini tangga jaraknya jauh-jauh, kalau boleh, biar banyak sikit dan lebih dekat jaraknya. Apabila tangga kurang, orang nak turun susah, tebing pula sempit dan berbatu.,” katanya.
Dia turut meminta pihak berwajib membersihkan kawasan pesisir pantai yang dipenuhi batu-batu kecil dan pecah bagi memastikan keselamatan pengunjung.
“Batu yang pecah kecil-kecil itu kena bersihkan, takut pelancong terpijak dan luka. Batu yang cantik tidak apa tetapi yang tajam elok dibuang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria berkata, sebahagian pantai terhakis selepas dilanda air pasang besar dan angin kuat baru-baru ini.
“Saya nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati untuk turun ke pantai kerana tebing agak tinggi dan kemudahan tangga pun tidak banyak serta kurang sempurna,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – UTUSAN










