PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Pahang sudah bersiap sedia berdepan bencana banjir yang kini telah melanda lapan negeri setakat ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bencana banjir adalah bencana alam yang melanda saban tahun namun, pihaknya sentiasa bersiap sedia menghadapinya.
“Walaupun ada banjir, tidak ada kemalangan jiwa pada musim Monsun Timur Laut yang lalu. Jadi pada tahun ini kita berharap dan berdoa supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya selepas ditemui pada Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya di sini, hari ini.
Buat masa ini, lapan negeri di seluruh negara dilanda banjir dengan Kelantan mencatatkan jumlah mangsa yang paling ramai.
Setakat jam 5 petang tadi, jumlah mangsa banjir di negeri terjejas terus meningkat kepada 13,401 orang membabitkan 4,734 keluarga.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran Hujan Berterusan (Bahaya) yang dijangka melanda hingga Rabu ini membabitkan Perlis, beberapa daerah di Kedah dan Kelantan, serta Besut di Terengganu. – UTUSAN










