Ops Bas Kilang: Pemandu dicekup ketika lari daripada sekatan JPJ

Ops Bas Kilang: Pemandu dicekup ketika lari daripada sekatan JPJ

ZULKIFLY Ismail (kanan) ketika turut serta dalam Ops Bas Kilang di pejabat JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Tindakan seorang pemandu bas kilang memecut kenderaan yang dipandunya semasa ditahan oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Ops Bas Pekerja mengundang padah apabila dia akhirnya dicekup tidak lama selepas itu.

Menurut Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail, pemandu terbabit ditahan berhampiran kawasan perindustrian Batu Maung selepas dikejar selama hampir 10 minit dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sejauh kira-kira lima kilometer (km).

“Hasil siasatan mendapati, ketika kejadian, pemandu lelaki berusia 39 tahun itu didapati baru sahaja selesai menurunkan pekerjanya dan dalam perjalanan pulang ke depoh.

“Dia (pemandu tersebut) bukan sahaja tidak memiliki lesen memandu vokasional (PSV), malah, bas yang dipandunya juga tidak mempunyai perlindungan insurans serta cukai jalan yang sah,” katanya ketika sidang akhbar di Seberang Jaya di sini.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, pemandu berkenaan juga dikatakan telah menerima arahan daripada majikannya supaya tidak berhenti ketika diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Tindakan itu bukan sahaja membahayakan nyawanya sendiri, malah, turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya yang memberitahu, semakan lanjut mendapati, pemandu itu juga mempunyai 10 saman atas kesalahan lampau yang belum diselesaikan.

Sementara itu, Zulkifly berkata, pihaknya turut mengesan beberapa kesalahan lain dalam Ops Bas Pekerja termasuk pemandu yang tidak memiliki lesen memandu serta pemandu warga asing yang diupah untuk memandu.

Katanya, operasi khas yang bermula pukul 5 pagi itu secara keseluruhannya menyaksikan sebanyak 215 buah kenderaan diperiksa dengan 26 bas pekerja diambil tindakan, 20 kenderaan disita dan 81 notis saman turut dikeluarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN