Operasi pengosongan, perobohan rumah Kampung Papan perlu diurus tertib

Operasi pengosongan, perobohan rumah Kampung Papan perlu diurus tertib

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu berhubung operasi pengosongan dan perobohan rumah di Kampung Papan, Pandamaran, Klang perlu diuruskan dengan lebih tertib agar tidak mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.

Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan ada disentuh secara ringkas menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini, namun ia belum dibincangkan secara mendalam memandangkan ia melibatkan tanah milik persendirian.

“Kami difahamkan tanah tersebut adalah milik persendirian dan masih (pemilik) yang sama.

“Ada keputusan mahkamah yang sedang dilaksanakan oleh pihak bailif dan memang ada dalam kalangan menteri yang minta supaya isu ini diuruskan dengan lebih tertib dan lebih baik supaya tidak menjadi isu,” katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, perkara itu kini sedang diteliti oleh Jemaah Menteri memandangkan ia melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Dan sekiranya ada cara untuk kita membantu menguruskan (atau) menyelesaikan isu ini, nanti akan dibincangkan dengan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 20 rumah di Kampung Papan, Pandamaran terbabit dalam kerja pengosongan yang dijalankan sejak Isnin bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh pemaju.

Bagaimanapun, proses pengosongan rumah penduduk itu kecoh apabila beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk membantah dan menghalang kerja perobohan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN