Negara dijangka hadapi tujuh episod hujan lebat

Negara dijangka hadapi tujuh episod hujan lebat

ORANG ramai diminta peka dengan perubahan cuaca dan bersiap sedia untuk berhadapan dengan Monsun Timur Laut dijangka tiba lebih awal daripada biasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara dijangka berdepan sehingga tujuh episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada pertengahan November ini hingga penghujung Mac 2026.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MET), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, berdasarkan analisis keadaan angin semasa dan lazimnya, Kelantan dan Terengganu akan menjadi negeri pertama menerima taburan hujan paling tinggi pada peringkat awal musim ini.

“Fenomena La Nina dijangka bermula pada pertengahan November ini dan boleh mempengaruhi taburan hujan sepanjang MTL kali ini.

“MET Malaysia menjangka taburan hujan akan melebihi paras purata di Sabah antara November 2025 hingga Februari 2026, serta di Kelantan dan Terengganu pada Disember 2025,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd Hisham berkata, sistem amaran awal bencana berkaitan cuaca di MET Malaysia kini diperkukuh.

“Untuk komponen pengumpulan data, MET Malaysia mengoperasikan 18 radar cuaca, tiga stesen penerima satelit bumi, lapan stesen pencerapan udara atas dan lebih 424 stesen pencerapan cuaca permukaan di seluruh negara.

“Sekiranya luruan monsun kuat atau sistem tekanan rendah terbentuk di rantau negara, hujan lebat berterusan boleh berlaku secara menyeluruh dan berpanjangan, seterusnya meningkatkan risiko banjir besar terutamanya jika disertai air pasang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, sebanyak 62,650 kit makanan (KM) dan 91,440 makanan retort (MRE) telah diedarkan ke seluruh negara setakat 27 Ogos 2025, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

NADMA turut menjelaskan bahawa, pengaktifan dan penutupan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) akan ditentukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat, bergantung kepada situasi dan jenis bencana.

“Penutupan PKTK tidak bermaksud PKOB boleh ditutup serentak. PKOB akan terus beroperasi sehingga fasa pemulihan awal selesai,” jelas NADMA dalam kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) turut bersiap siaga sepenuhnya menghadapi musim tengkujuh dengan peningkatan keupayaan pemantauan dan amaran banjir di seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah PRABN, Irwan Shahrill Ibrahim berkata, sebanyak 1,798 stesen telemetri hujan dan aras air, 614 siren amaran banjir, serta 1,937 tolok lurus kini beroperasi bagi pemantauan berterusan.

Selain itu, 280 pam bergerak, 285 rumah pam, 1,079 pintu kawalan air, 16 empangan JPS, dan 761 kolam takungan banjir turut berada dalam keadaan siap siaga.

“Kerjasama erat antara JPS, NADMA, MET Malaysia, Jabatan Daerah dan kerajaan negeri diteruskan bagi memastikan penyampaian amaran banjir dapat dilakukan lebih awal dan berkesan,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 1,110 kejadian banjir direkodkan sepanjang MTL 2024/2025, termasuk 758 banjir monsun, 319 banjir kilat, 8 banjir pantai dan 25 banjir genang.

Antara punca utama dikenal pasti ialah longkang tersumbat, limpahan sungai, air pasang tinggi, saliran dalaman tidak sempurna dan pembangunan tidak terkawal.

Sehubungan itu, MET Malaysia, NADMA dan JPS menyeru semua pihak agar bersiap sedia lebih awal menghadapi musim tengkujuh, terutama penduduk di kawasan rendah, berhampiran sungai serta pesisir pantai.

“Kerjasama dan kesiapsiagaan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan diri, keluarga dan harta benda. Persediaan awal dan kepekaan terhadap amaran cuaca adalah kunci utama dalam mengurangkan risiko bencana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN