KUALA LUMPUR: Pengarah dan pemuzik kontroversi, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee dihadapkan ke mahkamah pada 24 Oktober lalu atas dua pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tertuduh ditahan polis selepas disyaki memiliki dan menggunakan dadah dalam serbuan di sebuah hotel di ibu negara, bulan lalu.
Penahanan dibuat sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 22 Oktober lalu kira-kira pukul 4.30 petang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pemeriksaan dalam bilik hotel menemukan sembilan biji pil berwarna biru disyaki ekstasi dengan anggaran berat 5.12 gram.
“Suspek berusia 42 tahun itu kemudiannya dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
“Bagi pertuduhan pertama, suspek didakwa di bawah Seksyen 39A (1) kerana memiliki dadah manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 15 (1) (a) kerana menggunakan dadah.
“Suspek tidak mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mahkamah membenarkan jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, saringan awal air kencing mendapati suspek positif empat jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine, ketamin dan delta 9-tetrahidrokanibinolTHC.
“Suspek direman selama dua hari melalui perintah mahkamah bagi membantu siasatan sebelum pertuduhan dibuat,” katanya.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Disember ini. – UTUSAN










