MTL: Kerajaan aktifkan kesiapsiagaan jentera

Kerajaan aktifkan kesiapsiagaan jentera hadapi musim tengkujuh

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengaktifkan sepenuhnya kesiapsiagaan jentera membabitkan semua agensi, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula sejak semalam.

Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah membentangkan laporan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dengan memberi gambaran bahawa fasa awal MTL pada kali ini memerlukan tindakan lebih menyeluruh berikutan negara turut berdepan fenomena La Niña.

“Kami dimaklumkan bahawa setakat hari ini, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti sebanyak 182 lokasi ‘hotspot’ banjir yang akan menjadi tumpuan utama dalam persiapan menghadapi musim monsun.

“Di bawah pemantauan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), sebanyak 254 cerun kritikal telah dikenal pasti, manakala 1,768 stesen hidrologi telah disiap sediakan dan 614 unit siren amaran banjir bersedia untuk diaktifkan.

“Sebanyak 285 rumah pam juga telah disiapkan dan jumlah pam bergerak juga telah ditambah bagi menghadapi kemungkinan banjir. Beberapa empangan turut dikenal pasti berisiko melimpah sekiranya paras air melebihi tahap kritikal.

“Sekiranya berlaku, tindakan intervensi segera akan diambil bagi menjamin keselamatan, khususnya kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan empangan,” katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Menteri Komunikasi itu berkata, menerusi mesyuarat hari ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut memaklumkan bahawa anggota ATM telah bersiap siaga untuk digerakkan menerusi Ops Murni.

Ketika ditanya mengenai sistem komunikasi sewaktu bencana, beliau menegaskan bahawa usaha penambahbaikan rangkaian telekomunikasi sedang berjalan termasuk proses menaikkan beberapa peti ataupun peralatan yang mungkin berada di aras tanah supaya tidak ditenggelami air khususnya di kawasan mudah banjir.

“Sekiranya berlaku masalah gangguan perkhidmatan telekomunikasi maka pusat-pusat pemindahan sementara mesti dilengkapkan dengan sama ada Starlink ataupun Wi-Fi bagi memastikan penduduk kekal mempunyai akses internet,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN