MIC Perak minta penjelasan dakwaan tangguh lantikan politik - Utusan Malaysia

MIC Perak minta penjelasan dakwaan tangguh lantikan politik

M. RAMASAMY (tengah) bersama kepimpinan MIC Perak dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: MIC meminta penjelasan daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, Datuk A. Sivanesan mengenai pelantikan politik melibatkan parti itu.

Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M. Ramasamy berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai itu yang mendakwa beliau menasihati Menteri Besar supaya menangguhkan sebarang pelantikan sehingga selepas Perhimpunan Agung MIC pada 16 November ini, menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli parti.

“MIC Perak ingin memohon Menteri Besar mengesahkan kesahihan kenyataan ini. Jika benar kenyataan itu, adakah UMNO Perak begitu terdesak sehingga memerlukan nasihat parti DAP bagi hal ehwal dalaman Barisan Nasional (BN).

“Ia seolah-olah mencerminkan bahawa kerajaan Perpaduan di negeri ini adalah ihsan sokongan DAP dan UMNO tiada kuasa bagi menentukan hala tuju BN,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, MIC sejak beberapa bulan lalu telah memohon temujanji bersama Menteri Besar bagi perbincangan bersama mengenai hal ehwal masyarakat India tetapi permintaan itu diabaikan.

Malah katanya, kepimpinan MIC juga telah mengemukakan pelbagai usul kepada kerajaan negeri sejak tahun lalu namun tidak diendahkan.

“Memang jelas dan terbukti MIC terus dianaktirikan oleh kerajaan negeri Perak dan BN. Di manakah hilangnya semangat setiakawan dan muafakat BN yang menjadi tradisi tujuh dekad.

“Jika UMNO terus mengangguk kepada tuntutan dan nasihat DAP serta tiada sebarang usaha untuk menjana semula kebangkitan BN di Perak selain parti-parti komponen terus dianaktirikan, apakah hala tuju dan masa hadapan BN,” katanya.

Tambah beliau, MIC Perak dan kesemua 24 bahagian serta masyarakat India menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap sikap dan layanan kepimpinan UMNO terhadap parti itu.

“Saya kecil hati dan terkejut. Semua kepimpinan MIC di 24 Parlimen bertanya kepada saya bagaimana perkara ini berlaku. Bagaimana DAP boleh mengawal Menteri Besar dan mendengar cakap mereka.

“Saya tidak percaya dan minta penjelasan beliau berkaitan kenyataan Sivanesan itu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN