KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal perlu menjelaskan tindakan pentadbirannya sebelum ini yang menghapuskan had dua penggal bagi jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah.
Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan Warisan menunjukkan kurangnya komitmen terhadap reformasi tersebut apabila menghapuskan had penggal Yang Dipertua Negeri semasa mereka mentadbir negeri.
“Soalannya, mengapa ia perlu? Bagaimana pindaan sedemikian menyumbang kepada pembangunan Sabah?.
“Adakah ia untuk kepentingan individu atau rakyat? Shafie perlu menjelaskan mengapa kerajaan Warisan tergesa-gesa menghapuskan had penggal Yang di-Pertua Negeri,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook.
Mengulas lanjut Armizan berkata, sekiranya GRS membentuk kerajaan negeri akan datang, had dua penggal akan dikenakan ke atas jawatan Ketua Menteri.
Langkah itu, menurut beliau, bagi mengelak penumpuan kuasa pada satu individu dan sejajar amalan demokrasi matang di peringkat global.
Tambah Armizan, beliau meragui sama ada Warisan akan mengenakan had penggal bagi jawatan itu, berikutan tindakan mereka sebelum ini terhadap jawatan Yang Dipertua Negeri.
“GRS dan BN masing-masing berjanji akan memperkenalkan had dua penggal bagi jawatan ketua menteri sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri Sabah yang akan datang.
“Kedua-dua gabungan ini bersaing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, namun mempunyai pakatan berasingan dengan Pakatan Harapan (PH), manakala Warisan bertanding secara solo,” katanya. – UTUSAN










