Memang berat meninggalkan dunia Rangga & Cinta – Leya Princy - Utusan Malaysia

Memang berat meninggalkan dunia Rangga & Cinta – Leya Princy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebelum tayangan filem Rangga & Cinta mula mengambil alih kebanyakan pawagam tanah air dan negara jiran, peminat tegar naskhah asal Ada Apa Dengan Cinta? (2002) terlebih dahulu sudah ‘berbunyi’.

Baik di Indonesia mahupun di Malaysia, ramai antara mereka tidak dapat move on daripada karya ikonik arahan Rudi Soedjarwo yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa lebih dua dekad lalu.

Filem asal itu bukan sekadar kisah cinta remaja, tetapi menjadi simbol era milenial awal 2000-an, menggambarkan zaman peralihan, kebebasan, dan keindahan cinta pertama.

Maka, tidak hairan apabila ramai masih enggan melepaskan bayangan Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo yang dianggap sempurna sebagai Rangga dan Cinta.

Namun begitu, pelakon muda berbakat besar, Leya Princy, yang kini memegang watak utama sebagai Cinta dalam versi baharu ini, tidak sedikit pun gentar dengan gelombang kritikan yang datang sejurus namanya diumumkan.

Baginya, setiap generasi punya tafsiran tersendiri, dan watak yang dihidupkannya kali ini bukanlah untuk meniru, tetapi untuk menafsir semula.

“Sebenarnya, saya sudah dimaklumkan dari awal bahawa saya tidak perlu melayan sebarang kecaman atau perbandingan.

“Ini kerana versi yang saya bawakan mempunyai roh dan pendekatannya sendiri. Saya percaya penonton akan dapat melihat perbezaan itu apabila mereka menonton Cinta cara yang saya potretkan untuk mereka menerusi naskhah Rangga & Cinta,”katanya.

Bagi Leya, watak Cinta bukan sekadar satu peranan, tetapi sebuah perjalanan peribadi. Malah, ketika ditanya andai selepas ini diberi peranan untuk watak lain, adakah dirinya sudah bersedia?

Leya tenang memberikan jawapan sendiri.

“Jika saya boleh berterus-terang, memang berat untuk meninggalkan dunia Rangga dan Cinta. Bagi saya, zaman sekolah menengah adalah masa yang sangat istimewa.

“Banyak perkara baharu, banyak ‘bunga-bunga’ baharu muncul dalam hidup kita. Yang paling sukar ialah meninggalkan semua kenangan kecil itu.

“Malah, menerusi naskhah ini, ia sebenarnya memberi saya peluang untuk kembali ke zaman remaja yang penuh nostalgia. Latar masa filem ini ialah awal 2000-an, jadi saya seakan-akan kembali menyesuaikan diri dengan era itu dengan cara saya sendiri.

“Ia membantu saya menetapkan semula diri dan personaliti saya. Tentu sahaja meninggalkan ‘Cinta’ itu bukan mudah, tapi saya simpan ia, mungkin suatu hari nanti akan dibuka kembali,”ujarnya.

Leya turut mendedahkan bahawa sebelum menyertai projek ini, dia secara peribadi sudah lama mengagumi naskhah asalnya.

“Lebih tujuh atau lapan tahun lalu saya mula menonton Ada Apa Dengan Cinta?, dan saya menontonnya berulang kali. Malah mungkin enam kali setahun.

“Jadi apabila saya mendapat tawaran ini, saya sangat bersyukur. Saya anggap ia peluang besar untuk belajar banyak perkara baharu,”ujarnya.

Menurutnya lagi, cabaran utama bukan sekadar membawakan watak yang sudah lama hidup dalam ingatan penonton, tetapi bagaimana untuk menjadikan watak itu hidup semula dalam versi yang baharu.

“Saya cuba memahami dunia Rangga dan Cinta bukan sebagai pengulangan, tetapi sebagai pengalaman baharu. Saya mahu menjadikannya se-natural mungkin, dengan perasaan, gaya, dan jiwa cinta yang tulen,” katanya.

Namun, Leya tidak menafikan bahawa proses tersebut juga mengajarnya banyak tentang emosi dan kematangan diri.

“Sebelum menyertai projek ini, saya melihat Cinta sebagai seorang yang sangat stabil dan tahu apa yang dia mahu. Tapi apabila saya benar-benar mendalaminya, saya mula memahami kegagalan, dilema, dan sisi rapuh dalam dirinya.

“Jadi jika ditanya tentang cabaran, tentu sahaja akan ada. Setiap kali kami menjalani penggambaran, ada sahaja emosi baharu yang muncul. Kadang-kadang terlalu mendalam hingga sukar dikawal, kadang-kadang kosong. Tapi di situlah keindahan prosesnya, ia mencabar, tetapi sangat menarik,” katanya.

Di bawah arahan Riri Riza, filem Rangga dan Cinta mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 November lalu.

Filem muzikal romantik ini turut menggabungkan elemen sastera, lagu dan koreografi sebagai bahasa penceritaan utama.

Ia menampilkan semula lagu-lagu klasik ciptaan Melly Goeslaw dan Anto Hoed, selain memperkenalkan lagu baharu termasuk Rangga Cinta nyanyian Eva Celia dan Bilal Indrajaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN