IPOH: Seramai 3,121 mangsa banjir daripada 991 keluarga di negeri ini ditempatkan di 37 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini.
Jumlah itu meningkat sebanyak 162 orang berbanding angka yang direkodkan pada pukul 2 petang iaitu seramai 2,959 orang.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, daerah Manjung merekodkan jumlah mangsa terbanyak seramai 1,401 orang daripada 421 keluarga.
Katanya, sebanyak 14 PPS dibuka di daerah itu dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, Lekir merekodkan jumlah mangsa banjir teramai iaitu seramai 280 orang daripada 93 keluarga.
“Di Perak Tengah seramai 784 orang daripada 262 keluarga terjejas diikuti Bagan Datuk dengan 392 orang daripada 134 keluarga selain Hilir Perak dengan 281 orang daripada 93 keluarga dan Muallim membabitkan 167 orang daripada 49 keluarga.
“Bagi daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), seramai 79 daripada 27 keluarga terlibat manakala di Kuala Kangsar pula dengan 14 orang daripada empat keluarga dan tiga mangsa di daerah Batang Padang,” katanya. – UTUSAN









